Institut ini bermula pada penghujung tahun 1947 dengan pengambilan seramai 19 guru pelatih, termasuk yang datang dari Sabah dan Brunei Darusalam. Pada permulaan, latihan diadakan di Madrasah Melayu, Jalan Jawa (sekarang Jalan P. Ramlee) Kuching.

Institut dipindahkan ke tapak sekarang pada pertengahan tahun 1948 dan dibuka secara rasminya pada 1 Julai 1948 dengan nama Pusat Latihan Dan Sekolah Batu Lintang. Tapak ini adalah tapak kem tahanan tawanan perang semasa pendudukan Jepun. Adalah dianggarkan kem ini pernah menampung 3,000 tahanan semasa pendudukan Jepun (1942-1945)

Sepuluh tahun kemudian, pusat latihan ini bertukar nama kepada Maktab Latihan Batu Lintang. Pada tahun 1967, maktab ini bertukar namanya lagi kepada Maktab Perguruan Batu Lintang (MPBL). MPBL dinaik tarafnya ke institut secara rasminya pada 1 April 2006 dan dikenali sebagai Institut Perguruan Batu Lintang (IPBL). Dengan pindaan Akta Pendidikan 1996, Bab 9 Seksyen 42- 49 pada 4 Disember 2008, institut ini ditukar nama rasminya lagi dan kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPGKBL).